Sunday, 13 January 2013

Artikel Pilihan: DUIT UNTUK PENCEN

Dikredit daripada Irfan Khairi

Mengapa timbulnya keadaan kita beli lebih daripada kita mampu? Kadangkala, kita bersama keluarga atau rakan-rakan berjalan-jalan di pusat membeli belah, ternampak sesuatu yang kita minat, terus membelinya tanpa fikir panjang. 

Terutamanya tidak memikirkan sama ada kita mampu ataupun tidak dan terpaksa menanggung beban kurang wang di hujung bulan. Atau lebih teruk lagi, belian yang dilakukan adalah menggunakan kad kredit yang kita sendiri tidak tahu menahu bagaimana hendak membayar balik hutang itu. Kita tahu kita tidak mampu, tetapi kita lakukan juga!

Satu penyelidikan atas tabiat manusia mengatakan bahawa secara tabiatnya, manusia sering mencari jalan atau penyelesaian yang mudah dan singkat untuk sesuatu masalah berbanding dengan memikirkan cara yang lebih sukar dan panjang.

Buktinya, boleh dilihat ramai yang terjerumus dalam skim-skim cepat kaya dimana ingin penyelesaian masalah kewangan yang cepat dan kononnya mudah. Begitu juga mereka yang ingin menurunkan berat badan akan mencari jalan yang lebih mudah mungkin dengan memakan pil-pil tertentu dan tidak menjaga pemakanan dan melakukan senaman yan g dilihat lebih sukar.

Apa yang terjadi dalam tabiat wang yang tidak baik adalah, membeli barangan menurut emosi merupakan satu cara yang dilihat boleh mengubat diri sendiri dengan mudah dan pantas apabila diri dalam keadaan tertekan, sedih atau bermasalah. Apabila kita membeli sesuatu, kita akan mendapat kegembiraan secara instan. Dan itu yang kita mahukan tanpa berfikir panjang!

Dalam keputusan belian, 90% adalah dari keputusan emosi manakala 10% adalah keputusan yang mengikut logik. Bagi golongan lelaki yang membaca artikel ini, jangan fikirkan wanita sahaja yang membeli secara emosi. Lelaki juga sama. Malah, sering kali golongan lelaki membeli barangan yang lebih mahal daripada wanita!

Oleh sebab keadaan belian menurut emosi ini, dicampurkan dengan tabiat terapi belian untuk mengubatkan diri seketika membuatkan belian barangan yang kita sendiri tidak mampu.

*Ekstrak artikel Irfan Khairi dari Harian Metro. Jangan lepaskan artikel IK setiap Jumaat di Harian Metro, Majalah Metro!

No comments: